Monday, 2 September 2013

~ MENDIDIK ANAK AUTISME ~

Ayat pendek, mudah dan perkataan disebut satu persatu dengan jelas adalah asas untuk berkomunikasi dengan semua kanak-kanak, terutama yang mengalami masalah autisme. Melalui pendekatan betul, kanak-kanak autisme yang sering dianggap bermasalah sebenarnya boleh belajar dengan baik dan berdikari.

Selagi kita belum kenal dan tahu mengapa mereka menunjukkan kelakuan ‘pelik’, jangan cepat memberi label kepada kanak-kanak autisme hanya kerana mereka dilahirkan begitu.

Mereka bukan pembawa masalah, sebaliknya kehadiran kanak-kanak autisme sebenarnya memberi peluang kepada kita untuk berfikir lebih kreatif menjaga dan mendidik golongan ini.

Memang diakui tidak mudah untuk mendekati kanak-kanak autisme kerana mereka bukan saja tidak pandai bersosial, memiliki kemahiran berkomunikasi terhad dan lebih suka bermain seorang, malah tidak menghiraukan orang lain dan seolah-olah ada di dalam dunia sendiri.

Secara fizikalnya mereka sama seperti kanak-kanak normal tetapi berbeza daripada segi kelakuan kerana individu autisme suka melakukan sesuatu berulang kali, taksub dengan objek berputar seperti kipas dan gasing, tidak mahu bertentang mata, tidak suka disentuh, susah bekerjasama dan tidak sabar menunggu giliran.

Walaupun sesetengah kanak-kanak autisme kurang bertutur, mereka masih boleh berkomunikasi melalui renungan mata, gerak badan, ekspresi muka dan penggunaan gambar yang sesuai, kata Perunding Bebas Pendidikan Kanak-kanak Autisme, Intan Miranti.

Mendidik anak autisme adalah tugas mencabar yang menuntut banyak kesabaran dan kreativiti. Tidak hairan jika ada ibu bapa berputus asa dan menyerahkan tugas ini sepenuhnya kepada guru. Namun, tindakan ini kurang tepat kerana ibu bapa perlu menyambung pendekatan pengajaran yang digunakan guru di rumah.

Individu autisme menunjukkan perlakuan yang sangat berbeza dengan kanak-kanak normal.

Antara ciri utama kanak-kanak autisme ialah

1. Tidak menghiraukan orang lain
2. Kelihatan tidak sensitif pada keperluan, perasaan dan pemikiran orang lain
3. Tidak mahu bertentang mata atau menunjukkan ekspresi muka apabila bercakap
4. Tidak suka sentuhan (tidak mahu dipeluk atau dipegang)
5. Susah bekerjasama, berkongsi atau menunggu giliran
6. Lebih suka bermain sendiri
7. Tidak berminat dalam permainan yang perlu menggunakan imaginasi
8. Lambat bercakap
9. Mempunyai masalah bercakap dan memahami percakapan orang
10. Tidak boleh berkomunikasi dengan baik
11. Bercakap dalam nada pelik seperti menyanyi atau bercakap macam robot
12. Sukar memulakan percakapan. Kalau berbual hanya satu pihak (hanya mereka yang bercakap)
13. Mungkin mengulang perkataan sama, tetapi tidak faham maksudnya
14. Kanak-kanak autisme dengan sindrom Asperger menggunakan bahasa rasmi dan bercakap seperti orang dewasa
15. Suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan. Mereka mudah terganggu jika disuruh melakukan perubahan
16. Menunjukkan minat pelik, contohnya terhadap peta, peralatan elektronik atau roda kereta mainan berpusing dan memutar objek
17. Sangat sensitif terhadap rasa, bau dan bunyi yang menyebabkan mereka menunjukkan perlakuan di luar kawalan
18. Mempunyai pergerakan badan yang pelik dan melakukannya berulang-ulang
19. Tidak boleh duduk diam
20. Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang lain (dewasa)
21. Suka mengasingkan diri — biasanya kekecewaan ditunjukkan melalui tindak balas negatif seperti mengamuk, marah-marah, agresif (yang tidak ditujukan kepada sesiapa) atau perlakuan yang merosakkan seperti mencederakan diri
22. Bersikap pasif — tidak faham keadaan semasa dan tidak boleh membezakan keadaan baik dan buruk.


CREDIT TO~http://alkindi10autisme.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment